Tersentuh hati saya kerana yakin ayah pasti menangis melihat
apa yang berlaku. Ayah pasti tertanya-tanya kenapa negara yang aman tiba-tiba
tercetus rusuhan di sana-sini. Ayah pasti menangis, kerana negara yang pernah
mencari erti merdeka, yang darah dan
keringat pemimpin lalu diperjuangkan sehingga diberi makna, negara yang di bina dari asas untuk menjadi maju seperti
ini tiba-tiba cuba dihancurkan dalam sekelip mata.
Ayah pasti tertanya-tanya
dimana silap dia. Ayah berjuang mempertahankan negara ketika dijajah,
mempertaruhkan nyawa ketika diancam komunis dan ayah cuba lakukan apa yang
terdaya atas satu tujuan untuk memberikan sebuah negara yang sempurna buat
anak-anaknya.
Ayah pasti tertanya-tanya, kenapa saudara seagama dan
sebangsa dengannya berlari kesana kemari tanpa arah, terjerit-jerit tanpa
makna, beradu tenaga yang sia-sia, kononnya untuk perjuangan BERSIH. Ayah pasti
akan berkata, aku pernah lakukan ini semua, aku berlari kesana sini untuk
menyelamatkan nyawa, aku menjerit memberitahu musuh dimana dan aku mengerah
tenaga menentang musuh negara. Tapi perjuangan ayah lebih mulia, untuk sebuah negara yang merdeka.
Saya yakin ayah pasti menangis, kerana baru tahu rupa-rupanya
perjuangannya selama ini adalah sia-sia. Ayah pasti, perjuangan mencapai
kemerdekaan bukanlah utama. Darah dan keringat yang tumpah ketika
mempertahankan negara adalah tidak seberapa. Derita dan sengsara yang
ditanggung ketika negara menuju pembangunan adalah tiada harga.
Ayah pasti terkedu melihat anak-anak bangsa yang seagama
dengannya, Islam, memaki hamun, menyumpah seranah, memukul, menendang,
bertolak, bertumbuk sesama saudara. Ayah pasti terkejut kerana kata mereka,
itulah perjuangan. Ayah pasti tertanya-tanya, perjuangan apakah itu jika musuh
yang ditentang adalah saudara seagama dan sebangsa.
Ayah pasti termenung, memikirkan andai dia menutup mata, negara
yang bagaimanakah ditinggalkan buat anak cucu dan cicit. Mungkin akan ayah
berkata, ingatkan negara tercinta ini sudah merdeka, makmur, maju dan ada
segala. Ingatkan perjuangan lalu ayah adalah titik permulaan buat negara ini
tapi malangnya tidak. Bersyukur sepatutnya kita, tapi tidak pada yang ada
segala.
Betul ayah, ada segolongan bangsa Malaysia yang sudah
mendapat segala dari kemakmuran negara ini tapi tidak pernah cukup, bersyukur apatah lagi. Marah mereka ini jika kekayaan terpaksa berkongsi sesama kita. Golongan ini mahu bolot segala
dan sekarang perjuangan mereka adalah merebut kuasa. Dan ada pula golongan yang
ikut telunjuk, konon perjuangan ini BERSIH. Negara kita negara demokrasi dan bukan
caranya kita memerintah dengan demonstrasi. Entahlah ayah, rasa-rasanya kita sebagai rakyat Malaysia bukanlah bodoh sangat. Jika diberitahu dengan saluran yang betul, insyaALLAH faham kita.
Saya cuma mahukan sebuah negara yang aman, maaf sebelum ini memang Malaysia negara aman, tapi sayang ada yang tidak mampu dan tidak ingin menikmati keamanan ini.
MAAF AYAH!
No comments:
Post a Comment