Wednesday, May 2, 2012

Kesian Ayah....

Malam ini, 28 April 2012 ketika duduk bersantai  sambil menonton berita di TV, tiba-tiba hati kecil saya tersentuh dengan laporan mengenai demonstrasi jalanan BERSIH yang berlaku pada siangnya di sekitar ibu negara Kuala Lumpur. Tersentuh hati bukan kerana laporan yang didengar tetapi kerana mengenangkan ayah yang tua di kampung.

Tersentuh hati saya kerana yakin ayah pasti menangis melihat apa yang berlaku. Ayah pasti tertanya-tanya kenapa negara yang aman tiba-tiba tercetus rusuhan di sana-sini. Ayah pasti menangis, kerana negara yang pernah mencari erti merdeka,  yang darah dan keringat pemimpin lalu diperjuangkan sehingga diberi makna, negara yang  di bina dari asas untuk menjadi maju seperti ini tiba-tiba cuba dihancurkan dalam sekelip mata. 

Ayah pasti tertanya-tanya dimana silap dia. Ayah berjuang mempertahankan negara ketika dijajah, mempertaruhkan nyawa ketika diancam komunis dan ayah cuba lakukan apa yang terdaya atas satu tujuan untuk memberikan sebuah negara yang sempurna buat anak-anaknya.

Ayah pasti tertanya-tanya, kenapa saudara seagama dan sebangsa dengannya berlari kesana kemari tanpa arah, terjerit-jerit tanpa makna, beradu tenaga yang sia-sia, kononnya untuk perjuangan BERSIH. Ayah pasti akan berkata, aku pernah lakukan ini semua, aku berlari kesana sini untuk menyelamatkan nyawa, aku menjerit memberitahu musuh dimana dan aku mengerah tenaga menentang musuh negara. Tapi perjuangan ayah lebih mulia, untuk sebuah negara yang merdeka.

Saya yakin ayah pasti menangis, kerana baru tahu rupa-rupanya perjuangannya selama ini adalah sia-sia. Ayah pasti, perjuangan mencapai kemerdekaan bukanlah utama. Darah dan keringat yang tumpah ketika mempertahankan negara adalah tidak seberapa. Derita dan sengsara yang ditanggung ketika negara menuju pembangunan adalah tiada harga.

Ayah pasti terkedu melihat anak-anak bangsa yang seagama dengannya, Islam, memaki hamun, menyumpah seranah, memukul, menendang, bertolak, bertumbuk sesama saudara. Ayah pasti terkejut kerana kata mereka, itulah perjuangan. Ayah pasti tertanya-tanya, perjuangan apakah itu jika musuh yang ditentang adalah saudara seagama dan sebangsa.

Ayah pasti termenung, memikirkan andai dia menutup mata, negara yang bagaimanakah ditinggalkan buat anak cucu dan cicit. Mungkin akan ayah berkata, ingatkan negara tercinta ini sudah merdeka, makmur, maju dan ada segala. Ingatkan perjuangan lalu ayah adalah titik permulaan buat negara ini tapi malangnya tidak. Bersyukur sepatutnya kita, tapi tidak pada yang ada segala.

Betul ayah, ada segolongan bangsa Malaysia yang sudah mendapat segala dari kemakmuran negara ini tapi tidak pernah cukup, bersyukur apatah lagi. Marah mereka ini jika kekayaan terpaksa berkongsi sesama kita. Golongan ini mahu bolot segala dan sekarang perjuangan mereka adalah merebut kuasa. Dan ada pula golongan yang ikut telunjuk, konon perjuangan ini BERSIH. Negara kita negara demokrasi dan bukan caranya kita memerintah dengan demonstrasi. Entahlah ayah, rasa-rasanya kita sebagai rakyat Malaysia bukanlah bodoh sangat. Jika diberitahu dengan saluran yang betul, insyaALLAH faham kita.

Saya cuma mahukan sebuah negara yang aman, maaf sebelum ini memang Malaysia negara aman, tapi sayang ada yang tidak mampu dan tidak ingin menikmati keamanan ini.

MAAF AYAH!